Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Rabu, 11 Februari. - Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang telah diadakan selama dua hari, bermula Selasa, 10 Februari 2026 di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, melabuhkan tirainya hari ini, dengan Majlis Penyampaian Sagu Hati kepada para peserta dan cenderamata kepada para hakim Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H antara lain menyatakan bahawa musabaqah berkenaan bertujuan menyemai dan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam khususnya golongan belia, remaja dan kanak-kanak, sekali gus menyokong hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan lebih ramai penghafaz Al-Quran di negara ini.
Pada tahun ini jelasnya lagi, seramai 364 calon telah mendaftar, menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pengiran Dr. Haji Amiruddin seterusnya berkata, peserta telah melalui tiga peringkat pertandingan, iaitu saringan, separuh akhir dan akhir. Musabaqah peringkat akhir dijalankan selama dua hari melibatkan lima kategori, dan keputusan akan diumumkan sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara.
“Sebagai penambahbaikan, sistem pemarkahan telah didigitalkan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penghakiman, di samping siaran langsung melalui platform media sosial rasmi Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran (PPPQ) MABIMS," ujarnya.
Majlis diteruskan dengan musabaqah bagi Kategori 'E' yang memperdengarkan seramai lima peserta lelaki bertanding bagi kategori berkenaan.
Kemuncak majlis ialah penyampaian sagu hati kepada para peserta dan cenderamata kepada para hakim musabaqah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Pada tahun ini, seramai 25 peserta telah memperdengarkan hafazan masing-masing dalam musabaqah berkenaan. Daripada jumlah tersebut, penyertaan peserta perempuan adalah lebih menggalakkan, iaitu seramai 18 orang, manakala peserta lelaki seramai tujuh orang.
Musabaqah berkenaan dibahagikan kepada lima kategori, dengan setiap kategori menampilkan lima peserta.
Turut hadir, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan juga para jemputan daripada agensi-agensi kerajaan dan institusi-institusi pengajian berkenaan.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di negara ini agar mendekatkan diri untuk mencintai Al-Quran dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian.
Di samping itu, ia bertujuan untuk memupuk minat yang lebih mendalam terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja untuk menguasai tajwid, hafazan serta tafsirannya, selain menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam menghafaz Al-Quran.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan KHEU melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bertujuan menyemarakkan Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam serta menjadi antara pengisian utama dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun.